2011年10月10日星期一

KPWKM salur bantuan kepada ibu tunggal

Saya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan bagaimana kerajaan membantu ibu tunggal untuk mengurangkan beban sara hidup terutamanya pada waktu inflasi ini.

Pihak Kementerian menyatakan bahawa kerajaan amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh ibu-ibu tunggal dalam menyara kehidupan keluarga mereka. Dalam hal ini, Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai beberapa skim dan program untuk membantu golongan ibu tunggal.

Sebagai contoh, JKM turut mengagihkan bantuan kebajikan masyarakat kepada ibu tunggal di bawah skim Bantuan Kanak-kanak (BKK). Bantuan ini bertujuan menampung persekolahan anak-anak ibu tunggal yang berusia 18 tahun agar mereka tidak tercicir daripada mendapat pendidikan. Bagi tahun 2010, sebanyak RM147.2 juta telah disalurkan kepada 98,846 orang anak ibu tunggal. Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2011 sebanyak RM45.89juta disalurkan kepada 43,316 orang anak ibu tunggal menerusi skim ini.

Selain itu, JKM menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga ibu tunggal miskin menerusi skim Bantuan AM. Bagi tahun 2010, sebanyak RM42.3 juta telah disalurkan kepada 22,611 keluarga ibu tunggal miskin menerusi skim ini.Manakala bagi tempoh Jan hingga Jun 2011, sebanyak 39,270 keluarga ibu tunggal miskin telah menerima bantuan kewangan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM11.14juta.

Penerima bantuan JKM juga digalakkan untuk berusaha memperbaiki tahap sosioekonomi mereka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kebajikan. Insentif dalam bentuk Geran Pelancaran disediakan untuk penerima bantuan termasuk ibu tunggal yang ingin menjalankan perniagaan bagi menjana pendapatan. Pada tahun 2010, sebanyak RM596,515 telah disalurkan kepada 244 orang ibu tunggal. Manakala bagi tempoh Jan hingga Jun 2011, sejumlah RM110,270 telah disalurkan kepada 49 orang ibu tunggal sebagai modal permulaan untuk menjalankan perniagaan.

Menerusi JPW, KPWKM menjalankan program pengupayaan sosioekonomi ibu tunggal di bawah aktiviti keusahawan atau lebih dikenali sebagai Inkubator Ibu Tunggal (I-KIT). Dalam hal ini JPW menjalankan program keusahawan dalam bidang komersil seperti jahitan, kecantikan, pembuatan pastri, kraftangan, asuhan kanak-kanak, penyediaan makanan dan pelancongan bagi melatih mereka menjadi usahawan yang Berjaya. Program ini dilaksanakan di seluruh Negara melalui latihan kemahiran dan pendidikan asas keusahawanan.

Bermodalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan bimbingan yang diperolehi melalui program ini, peserta dapat menjana pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan sama ada di rumah pun di premis-premis perniagaan. Program I-KIT telah dimulakan pada tahun 2008, dan sehinggan Ogos 2011 seramai 2453 orang ibu tunggal telah mengikuti program yang dijalankan di mana 275 daripada jumlah tersebut telah Berjaya menjalankan perniagaan ataupun mendapat kerjaya berdasarkan kemahiran yang diperolehi.

Selain itu, JPW juga melaksanakan program pemerkasaan ibu tunggal yang berorientasikan seminar, forum dan bengkel seperti peningkatan kendiri, penjaggaan kesihatan dan kepimpinan bagi membangunkan kapasiti wanita, termasuk ibu-ibu tunggal agar mereka mempunyai tahap keyakinan yang lebih tinggi dan bermotivasi untuk mencapai kejayaan serta menikmati kehidupan yang lebih baik.

Sehubungan itu, pihak KPWKM dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah Berjaya menjalankan sebanyak 23 program pembangunan wanita dengan peruntukan sebanyak RM426,660. Program ini mampu memberi manfaat dan faedah kepada ibu-ibu tunggal di seluruh Negara dari tahun 2005 hingga 2011.

没有评论: